Empat Individu Dikenakan Kompaun.

Labuan: Empat individu dikenakan kompaun selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Perkara 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) (No.8) 2020.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, semua pesalah membabitkan dua lelaki dan dua wanita itu dikenakan tindakan berkenaan, semalam.

Katanya, keempat-empat lelaki dan wanita tempatan itu dikenakan kompaun selepas didapati tidak menggunakan pelitup muka ketika berada di tempat awam.

“Kes pertama dikesan berlaku di hadapan sebuah restoran di kawasan bandar kira-kira jam 11.31 pagi apabila sepasukan polis yang menjalankan tugas pemantauan.

“Pasukan polis mendapati lelaki terbabit tidak memakai pelitup muka ketika berada di lokasi selain turut didapati merokok. Tindakan kompaun terus dikeluarkan terhadapnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Muhamad Farid berkata, kes kedua dilaporkan berlaku di kawasan parkir kenderaan UTC apabila seorang lelaki turut dikesan tidak memakai pelitup muka.

Katanya, kes ketiga pula membabitkan dua wanita yang sedang bekerja di pusat snooker kerana didapati tidak mengenakan pelitup wajah ketika sedang bekerja. L

“Kejadian berlaku kira-kira jam 4.10 petang apabila pasukan polis bertugas mendapati kedua-dua wanita ini sedang duduk di kaunter premis berkenaan,” katanya.

Muhamad Farid berkata, semua individu terbabit didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) (No.8) 2020.

Katanya, semua mereka yang berusia lingkungan 17 hingga 38 tahun itu dikenakan kompaun RM 1,000 setiap seorang.

Sehubungan itu, Muhamad Farid menasihatkan orang ramai supaya patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP dalam usaha memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19 di Pulau Labuan ini.

Tamat