
NABAWAN: Bimbang dengan ancaman demam denggi yang meningkat di daerah ini, penduduk Kampung Ranau-Ranau, di sini, mengambil insiatif untuk melaksanakan gotong royong membersihkan kawasan kampung itu, semalam.
Ia susulan selepas 38 penduduk di daerah itu diserang demam denggi menurut laporan Pejabat Kesihatan Negeri Sabah baru-baru ini.
Pegawai Daerah Nabawan, Peter Jonu @ Peter J Moinjil berkata, mini gotong royong itu membabitkan seluruh penduduk di kampung berkenaan bagi menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk Aedes.
“Ancaman demam denggi yang menimpa 38 penduduk di daerah ini cukup membimbangkan kerana ia boleh mengancam keselamatan kesihatan penduduk lain.
“Disebabkan kesedaran ini, kami menggerakkan aktiviti gotong royong bersama-sama seluruh penduduk termasuk agensi kerajaan dalam usaha pembersihan kawasan persekitaran di kampung ini,” katanya kepada media semalam.

Beliau berkata, antara agensi yang turut serta dalam aktiviti itu adalah Pejabat Daerah Nabawan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Nabawan, Majlis Daerah Nabawan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Pejabat Penerangan Daerah Nabawan.
Sementara itu, Ketua Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Daerah Nabawan, Kenedi Matusin menyeru orang ramai memainkan peranan dalam mengawal penuladan demam denggi di kawasan itu.
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa membersihkan kawasan luar dan dalam rumah dengan memusnahkan tempat takungan air yang berpotensi menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.
“Walaupun negara kini sedang dilanda wabak Covid-19, penyakit demam denggi juga harus diberi perhatian serta dikawal dan ini bukan terletak sepenuhnya di bahu PKD Nabawan semasa-mata tetapi ia adalah menjadi tanggungjawab seluruh penduduk di Nabawan, ” katanya.

Tambah beliau lagi, pihak PKD Nabawan melalui Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Nabawan akan sentiasa membuat pemantauan berterusan dari semasa ke semasa.
Terdahulu, hadir sama pada program itu adalah Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Hasinin Kinsim dan Pegawai Penerangan Daerah Nabawan, Asmidar Zainol.







