Angkara Jiran, Lelaki Rentung Terbakar.

Kota Kinabalu: Seorang lelaki rentung dipercayai akibat tindakan jirannya yang membakar tilam kerana bertengkar dengan ibu saudaranya dalam kejadian kebakaran membabitkan dua rumah di Rumah Murah Kepayan, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam, mangsa Liew Han Chong, 65, ditemui rentung di dalam tandas tingkat atas rumahnya yang turut terbakar.

Manakala dua lagi mangsa yang melecur ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan ibunya, 32, yang diberikan rawatan awal oleh Unit EMRS Bomba sebelum diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai bermula apabila seorang lelaki berusia 20-an dikatakan bertengkar dengan ibu saudaranya.

Katanya, suspek kemudiannya dipercayai bertindak membakar tilam di biliknya sebelum mengakibatkan api merebak ke rumah bersebelahan.

“Sebelum kejadian, suspek dikatakan bertengkar dengan ibu saudaranya lalu bertindak membakar tilam di biliknya.

“Api kemudian merebak dan suspek bersama tiga ahli keluarga sempat menyelamatkan diri manakala seorang lelaki ditemuikan rentung bersebelahan rumah suspek terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis kemudian menahan suspek kira-kira jam 4 pagi tadi.

“Suspek berjaya ditahan dan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian seorang lelaki tanpa niat,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.24 tengah malam sebelum mengerahkan Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dan Lintas untuk operasi pemadaman api kebakaran.

“Kekuatan keseluruhan keanggotan adalah seramai 31 anggota dan pegawai dengan tiga jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT), dua jentera Water Tanker “Prime Mover” dan  tiga kenderaan “Rapid Intervention Motorcycle (RIM)”.

“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 1.28 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.56 pagi.

“Terdapat dua mangsa cedera ringan iaitu kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan ibunya, 32. Pasukan bomba turut menemui seorang lelaki rentung di dalam tandas tingkat dua rumah berkenaan,” katanya.

tamat