Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Sebanyak lima usul yang dibentangkan pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Sabah akan dibawa ke peringkat nasional untuk dipertimbangkan dan diberi perhatian sewajarnya.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, usul berkenaan mencerminkan pandangan serta keperluan golongan belia dari seluruh negeri, termasuk mereka yang menetap di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata, kesemua usul itu akan dikemukakan kepada pihak berkaitan, termasuk untuk perhatian Ketua Menteri Sabah serta Menteri Belia dan Sukan Malaysia yang juga Pengerusi Majlis Perundingan Belia Negara.
Lima usul berkenaan merangkumi usaha memperkukuh pendidikan, kesihatan, keselamatan diri serta pencegahan gangguan seksual dalam kalangan belia.
Selain itu, usul turut melibatkan pembangunan pusat hab keusahawanan digital dan agropreneur belia, penyediaan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mengikut keperluan serta potensi setiap daerah, penyelarasan semula kadar tambang penerbangan bagi belia Sabah serta peluasan bantuan yuran peperiksaan Malaysian University English Test (MUET).
“Usul-usul ini dekat dengan kehidupan dan keperluan belia Sabah. Kita berharap setiap satu akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan, jika bersesuaian, dilaksanakan bagi memenuhi aspirasi golongan muda,” katanya.
Menurut Nizam, isu penyelarasan tambang penerbangan wajar diberi perhatian kerana belia Sabah perlu ke Semenanjung Malaysia bagi menyertai program, urusan rasmi dan pelbagai aktiviti lain, namun kos tambang yang tinggi boleh menjadi beban kepada mereka.
Beliau turut menegaskan kepentingan menyediakan latihan TVET yang bersesuaian dengan keperluan setempat supaya kemahiran diperoleh dapat meningkatkan kebolehpasaran belia serta membuka peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan.
Dalam pada itu, Nizam merakamkan ucapan syabas dan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, khususnya Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Majlis Belia Sabah serta Jabatan Belia dan Sukan Sabah atas usaha menjayakan persidangan berkenaan.

Nizam bergambar bersama peserta Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Sabah Penggal Ke-35 Sesi 2025–2026 di Shangri-La Tanjung Aru, Kota Kinabalu.






