Oleh JAMES LEONG
TAWAU: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan intelektual ditemukan lemas di sungai berhampiran Taman Green, Jalan Sin Onn, di sini, pada Selasa.
Menurut maklumat awal, wanita berkenaan dilaporkan hilang oleh bapanya kira-kira jam 12 tengah hari sebelum penduduk kampung memulakan operasi pencarian.
Kira-kira jam 2 petang, penduduk kampung menemui mangsa dalam keadaan terperangkap berhampiran tebing sungai di Taman Green sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 1.56 petang sebelum menggerakkan 10 anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.03 petang.
Setibanya di lokasi, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Fazli Rahman mengesahkan mangsa terperangkap di kawasan tebing sungai.
Anggota bomba yang memakai alat bantuan apungan diri (PFD) kemudian memasuki sungai untuk membawa keluar mangsa sebelum mengangkatnya ke tebing menggunakan pengusung.
Pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia.
Mangsa dikenal pasti sebagai wanita berusia 33 tahun yang mempunyai ketidakupayaan intelektual serta masalah pertuturan dan menetap di Taman Dingin, Batu 1, Jalan Apas.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis pada jam 2.30 petang untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat itu membabitkan 10 anggota bomba dengan bantuan 10 anggota polis dan tiga petugas perubatan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.38 petang selepas kawasan kejadian disahkan selamat.

Anggota penyelamat mengeluarkan mayat wanita berkenaan dari sungai pada Selasa.







