Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah. Terus Gandakan Usaha dan Komitmen


Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, akan terus menggandakan usaha dan komitmen bagi memastikan khazanah budaya di negeri ini tidak luput ditelan zaman.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, atas dasar itu pihaknya akan menyokong segala inisiatif yang telah digariskan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dalam usaha memartabatkan kebudayaan serta adat tradisi suku kaum dan etnik di Sabah.

“Negeri Sabah kaya dengan keunikan budaya, dengan sokongan kerajaan negeri khususnya dari segi peruntukan kewangan, sudah pasti akan memberi impak kepada usaha mengangkat kepelbagaian budaya masyarakat di negeri ini,”

Tambahnya, Sabah adalah sebuah negeri yang mempunyai pelbagai warisan budaya yang terhasil daripada pelbagai kaum dan etnik.

Warisan budaya yang dimiliki perlu dipertahankan dan dijaga kerana ia menggambarkan jati diri dan lambang sesebuah negeri.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi taklimat di Lembaga Kebudayaan Sabah pagi tadi.

Turut hadir, pembantu menteri pelancongan kebudayaan dan alam sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai , pengurus besar LKS Mackey Apison serta beberapa Kakitangan LKNS.

Dalam pada itu, beberapa perkara turut dibincangkan termasuk pembinaan 11 buah pusat kebudayaan ( Cultural centre) di daerah terpilih yang mana ketika ini sedang dalam proses memohon pemilikan tanah untuk diwartakan milik LKNS.

Jelas Mackey, Cultural centre yang bakal dibina itu bukan sahaja untuk mempromosi adat budaya masyarakat tetapi juga untuk tujuan pengkomersilan produk pelancongan.

Selain itu, turut diutarakan adalah masalah kebajikan pekerja LKNS yang masih berstatus pekerja sambilan harian.

“Pekerja adalah aset berharga bagi sesebuah organisasi atau syarikat dan menjaga kebajikan mereka adalah asas penting dalam memastikan mereka dapat bekerja lebih kuat dan penuh semangat” tambah Datuk Jafry.

Seterusnya, Jafry turut meninjau keadaan bangunan LKNS yang dilihat usang dan memerlukan pembaikan segera.

Beliau berharap agar masalah itu dapat diselesaikan dan warga LKNS dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam keadaan yang selamat dan selesa.

Ends.