Pengusaha Bot Kecil Dipantau.

KOTA KINABALU: Kegiatan pengusaha bot kecil yang cuba membawa penumpang antara Labuan dan Tanah Besar Sabah akan dipantau dari semasa ke semasa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, setiap penguaaha bot yang didapati bersalah akan ditahan dan dikenakan kompaun.

Katanya, semua elemen termasuk Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) akan dikerah untuk mengawal pantai dan perairan negeri ini.

“Polis akan cuba menghalang penduduk dari tanah besar (Sabah) masuk ke Labuan dan begitu juga dengan penduduk Labuan yang cuba masuk ke tanah besar.

“Hanya feri kenderaan (RoRo), yang membawa lori barang makanan saja dibenarkan beroperasi, perkhidmatan untuk penumpang tidak dibenarkan,”katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Hazani berkata, walaupun Labuan adalah sebagai wilayah persekutuan namun dari segi keselamatan ia adalah dibawah pentadbiran polis Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini, mengesahkan Labuan akan dikenakan PKPB bermula esok sehingga 30 Oktober depan.

Katanya, SOP PKPB bagi pergerakan rentas negeri di Labuan tidak dibenarkan kecuali bagi kes kecemasan dengan mengemukakan surat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tamat