Kebakaran Gudang Perabot Babitkan Kerugian Hampir RM5 Juta


Kota Kinabalu: Sebuah gudang perabot dan elektrik di Jalan Lintas kepayan, di sini, yang musnah terbakar awal pagi tadi dianggarkan mengalami kerugian hampir RM5 juta.

Dalam insiden jam 6 pagi, kebakaran yang dipercayai berpunca dari litar pintas itu memusnahkan keseluruhan bangunan dua tingkat berkenaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kejadian berlaku ketika kedai berkenaan tidak beroperasi.

Pengurus kedai perabot yang dikenali sebagai Chong, 50-an, berkata dia menyedari kejadian itu selepas menerima panggilan daripada salah seorang pekerjanya.

Katanya, ketika kejadian, kedai berkenaan belum beroperasi.

“Sebaik tiba, sebahagian kedai berkenaan terbakar dan tidak mengetahui punca kebakaran berkenaan.

“Kedai berkenaan menjual perabot dan barang elektrik. Kerugian dianggarkan bernilai hampir RM5 juta,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.23 pagi dan seramai 41 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kebakaran.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, api sedang marak di kedai yang menempatkan barangan perabot.

“Api dikawal jam 7.20 pagi dan kebakaran memusnahkan keseluruhan bangunan berkenaan.

“Manakala pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kedai tayar dan sebuah rumah,” katanya.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

tamat