Tiga Sekeluarga Terselamat Dari Rumah Terbakar.

Labuan: Tindakan pantas tiga sekeluarga berjaya menyelamatkan diri daripada rentung selepas rumah mereka musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Batu Arang, Jalan Rancha-Rancha, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, seorang wanita bagaimanapun, mengalami kecederaan di kaki dan tangan ketika cuba menyelamatkan diri dari rumah yang musnah terbakar 100 peratus.

Manakala suami, 38 tahun dan seorang lagi anak lelaki berusia lapan tahun terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Jurucakap Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.10 pagi sebelum mengerahkan sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bersama 10 anggota dan pegawai ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran didapati hanya membabitkan sebuah rumah berkeluasan 83 meter persegi berstruktur kayu terbakar.

“Operasi pemadaman segera dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran di tempat kejadian.

“Api berjaya dikawal pada jam 6.38 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya lapan minit selepas dipastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera di hantar ke Hospital Labuan bagi mendapatkan tindakan selanjutnya selepas menerima rawatan awal daripada pasukan ERMS.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian dalam insiden berkenaan.

Tamat