Kota Kinabalu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mengesahkan seorang pegawai agensi berkenaan meninggal dunia akibat Covid-19, di Hospital Queen Elizabeth I (HQE 1), di sini, hari ini.
Allahyarham difahamkan bertugas sebagai Ketua Cawangan Operasi Kebombaan di Ibu Pejabat JBPM Sabah itu dikatakan meninggal dunia jam 9.15 pagi tadi.
Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah ketika dihubungi berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kuala, Papar, petang ini.
Katanya, pemergian pegawai berkenaan adalah satu kehilangan besar bagi JBPM Sabah.
“Allahyarham seorang pegawai yang sangat komited, dan berdedikasi serta bertanggungjawab dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.
“Ia satu kehilangan besar kepada JBPM Sabah terutama bagi di bahagian operasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kamarulzaman berkata, Allahyarham bersama 15 pegawai bomba disahkan positif pada 16 Oktober lalu selepas menjalani ujian saringan.
“Semua pegawai terbabit termasuk Allahyarham kemudian diarahkan menjalani kuarantin di HQE I.
“Bagaimanapun, Allahyarham meninggal dunia, manakala 15 pegawai disahkan pulih,” katanya.
Difahamkan, Allahyarham sebelum ini turut menghidap sakit jantung dan penyakit asma.
Tamat






