KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat berjaya mengusir keluar sebuah bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh perairan negara berhampiran Pulau Malawali, dekat sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, bot nelayan asing berkenaan dikesan di kedudukan 4.5 batu nautika timur pulau berkenaan dalam Operasi Pluto Timur dan Operasi Kuda Laut.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, bot nelayan asing yang berwarna biru itu dikesan menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan Kudat.
Katanya, Ketua Bot Ronda Maritim kemudiannya memberi amaran keras dan mengarahkan bot nelayan asing terbabit segera keluar dari perairan Sabah.
“Bot Maritim Malaysia terus mengekori bot berkenaan sehingga keluar dari garis sempadan Malaysia – Filipina iaitu sejauh 14.4 batu nautika dari tempat awal pengesanan.
“Tindakan itu selaras dengan arahan semasa berhubung tindakan menyekat penularan wabak Covid-19 ke negeri ini, APMM mengusir keluar semua bot asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada perairan Kudat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Boon berkata, ketika ini, aset Zon Maritim Kudat sudah mempertingkatkan rondaan harian bagi menyekat pendaratan bot asing dan PATI ke Kudat.
Katanya, usaha itu dilakukan bersama pelbagai agensi kerajaan yang lain untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengurangkan penularan wabak ini kepada masyarakat tempatan.
Tamat





