
KUDAT: Enam individu dikenakan kompaun selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di tiga kampung di daerah ini sejak 30 Oktober hingga semalam.
Tiga kampung yang terbabit dengan penguatkuasaan PKPD itu adalah Kampung Pangaraban, Kampung Tanjung Kapur dan Kampung Landung Ayang.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak memakai pelitup muka dan kenderaan melebihi muatan dibenarkan.
Katanya, semua kesalahan itu dikesan selepas kelonggaran diberikan kepada penduduk dari ketiga-tiga kampung itu keluar ke bandar untuk urusan perbankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
“Walaupun diberi kelonggaran dalam tempoh ini, masyarakat setempat harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Setiap individu tidak kira orang perseorangan, pekerja atau majikan perlu mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu walaupun terdapat kelonggaran seperti kebenaran untuk ke bandar bagi urusan di bank dan membuka premis perniagaan ketika dalam tempoh PKPD ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Firdaus berkata, penguatkuasaan itu perlu dilakukan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 di daerah ini.
Untuk rekod, bagi PKPD yang dikuatkuasakan di tiga kampung sehingga 12 November itu membabitkan 2,393 unit rumah dan 13,884 penduduk.
tamat







