12,200 Bungkus Rokok Seludup Dirampas.

TAWAU: Cubaan membawa masuk 12,200 bungkus rokok seludup ke daerah ini gagal selepas tindakan itu berjaya dikesan pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di kawasan Blok 5, Kampung Titingan, di sini, malam tadi

Dalam kejadian jam 9.35 malam itu, semua rokok yang dianggarkan bernilai RM152,288 itu dikesan sedang dipunggah oleh empat lelaki dari sebuah bot ke kawasan lapang.

Bagaimanapun, sebaik serbuan dijalankan, semua individu berkenaan sempat melarikan diri meninggalkan rokok yang cuba diseludup berkenaan.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, berdasarkan maklumat diterima, pihaknya mengesan pergerakan sebuah bot dari Pulau Sebatik menghala ke Kampung Titingan.

Katanya, sebaik tiba, pasukan ESSCOM melihat empat lelaki sedang leka memindahkan beberapa kotak yang disyaki rokok seludup tanpa cukai dari sebuah bot ke kawasan lapang.

“Apabila anggota keselamatan bertindak, semua lelaki terbabit melarikan diri dan usaha mengejar lelaki berkenaan gagal apabila suspek menghilangkan di kawasan gelap.

“Pemeriksaan lanjut terhadap barangan yang ditinggalkan semua suspek membawa kepada penemuan 19 kotak besar yang dipercayai mengandungi rokok seludup yang tidak dibayar cukai kastam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, antara jenis rokok seludup yang berjaya dirampas adalah 800 bungkus rokok Surya, 1,800 bungkus rokok Nice Bold, 1,000 bungkus rokok LA Bold, 5,600 bungkus LA Menthol Light dan 3,000 bungkus rokok Premium International Gold.

“Semua di bawa ke balai polis Tawau untuk tindakan lanjut serta disiasat mengikut Akta Kastam 1967, ” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fuad berkata, kejayaan itu adalah hasil persefahaman dan kerjasama padu yang ditunjukkan oleh semua agensi keselamatan yang bertugas di OP Cegah Pati (OCP) Laut dan Daratan yang diselaraskan oleh ESSCOM.

Katanya, ia juga adalah usaha pasukan keselamatan memutuskan dan mengekang penularan pandemik koroanvirus (Covid-19).

“Saya amat berterima kasih kepada pasukan OCP Daratan sektor Selatan dengan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam operasi ini sehingga berjaya menggagalkan dan mematahkan penyeludupan ini.

“Ini adalah kejayaan terbesar yang pernah dicatatkan oleh OCP Laut dan Daratan ESSCOM sejak mula diaktifkan pada awal April yang lalu,” katanya.

Tamat