13 Individu Dikenakan Kompaun PKPB


Labuan: Seramai 13 individu dikenakan tindakan kompaun dalam dua pemeriksaan berasingan yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan, semalam.

Semua individu terbabit dikenakan kompaun atas kesalahan mengikut Peraturan. 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) (No.8) 2020 bernilai RM1,000 setiap seorang.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhammad Farid Ahmad berkata, kes pertama membabitkan pengeluaran kompaun terhadap tiga lelaki dalam pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Tun Mustapha.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, ketiga-tiga individu itu didapati berada dalam kenderaan persendirian yang sama.

“Manakala bagi kes yang kedua pula membabitkan pasukan pemantau PDRM yang mengenakan kompaun terhadap 10 lelaki.

“Mereka didapati sedang bermain futsal di gelanggang kawasan perumahan LDA, Kampung Sungai Bedaun, di sini, kira-kira jam 8.00 malam, semalam,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Muhammad Farid berkata, semua 13 individu yang dikenakan kompaun itu berusia lingkungan umur 17 hingga 32 tahun.

Katanya, tiga individu awal yang dikompaun didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawaln Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu menaiki kenderaan melebihi dua orang yang dibenarkan manakala aktiviti sukan yang dibenarkan pula hanya boleh membabitkan individu saja.

“Pihak polis menasihatkan masyarakat Labuan supaya mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan dalam usaha membendung penularan virus Covid-19.

“Kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan akan menyebabkan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang terlibat,”katanya.

Tamat