Keningau: Operasi mencari dan menyelamat dua beradik yang hilang dalam insiden sebauh pacuan empat roda yang dihanyutkan arus deras di Sungai Liawan, Kampung Dangulad, di sini, kelmarin, berdepan kesukaran.
Itu berikutan keadaan aliran sungai berkenaan yang berjeram sehingga menyukarkan pasukan mencari dan menyelamat dalam operasi berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Mudi Pengiran berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang yang disambung pagi tadi namun sehingga kini mereka masih belum menemui kedua-dua beradik terbabit.
Katanya, usaha pencarian hari ini membabitkan seramai 21 anggota bomba dengan dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela, Apm dan penduduk Kampung.
“Operasi menyelamat yang memasuki hari ketiga diperluaskan hingga lima kilometer dari lokasi mangsa dihanyutkan.
“Keadaan aliran sungai berjeram juga amat menyukarkan operasi mencari dan bahaya untuk bot pasukan penyelamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mudi berkata, setakat hari ini, tiada sebarang petunjuk yang dilaporkan namun operasi menyelamat masih diteruskan.
Dalam kejadian jam 12.08 tengah malam, Isnin lalu, kedua beradik iaitu Jason Lim, 6 dan adik perempuannya Amber Lim, 4, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah.
Namun sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu bapa mereka hanyut ketika cuba melintasi jambatan konkrit di kampung berkenaan.
Tamat







