KOTA KINABALU: Masalah kekurangan bekalan elektrik di pantai timur Sabah akan diselesaikan dengan pemasangan kuasa solar dan janakuasa bergerak dengan keupayaan menjana 300 megawatt (Mw).
Langkah itu sudah dipersetujui oleh kerajaan persekutuan untuk membekalkan kedua-dua sistem solar serta janakuasa bergerak berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia adalah langkah sementara yang dijangka mampu siap sepenuhnya dalam tempoh lebih setahun sebelum sebuah penyedia tenaga bebas (IPP) berkapasiti 1,000 Mw dibina.
Katanya, kos keseluruhan projek yang dijangka menelan sehingga bilion ringgit itu penting bagi memastikan pengguna di kawasan pantai timur tidak lagi berdepan gangguan bekalan elektrik.
“Kita menyedari banyak masalah berkaitan bekalan elektrik di kawasan pantai timur antara Sandakan, Tawau dan Lahad Datu. Oleh itu kita berbincang dengan kerajaan Pusat bagaimana untuk menangani isu itu dan mereka bersetuju untuk memberikan 300 Mw melalui janakuasa bergerak dan solar.
“Selepas itu, kita akan berusaha meningkatkan keupayaan grid tenaga dari pantai barat hingga ke pantai timur negeri ini,” ,” katanya pada sidang media di Jabatan Kerja Raya Sabah, di sini, hari ini.
Bung Moktar berkata, beliau juga akan berbincang dengan kerajaan Pusat untuk menstruktur semula Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sebelum diambil alih kerajaan negeri.
“Banyak masalah dan isu yang perlu diselesaikan. SESB mengalami kerugian berterusan sehingga mengganggu bekalan elektrik di negeri ini sehingga sering terputus.
“Kita akan berbincang untuk menstruktur semula SESB supaya ia boleh berdaya saing sebelum kita ambil alih daripada Pusat dan mengurusnya sendiri,” katanya.
Tamat




