ESSCOM PATAHKAN KUMPULAN PENJENAYAH ROMPAK LAUT.

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur ( ESSCOM) berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah dalam dua serbuan berasingan di perairan Pulau Nusa Tengah dan Pulau Omadal, Semporna, di sini, Khamis lalu.

Dalam operasi khas jam 9.30 malam itu, tiga penjenayah berusia 20 hingga 50 tahun yang dikenalpasti terlibat dalam beberapa kes curi dan rompak di perairan Inderasabah, di sini, berjaya ditahan.

Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, pasukan serbuan membabitkan anggota ‘pasukan khas’ yang ditubuhkan ESSCOM bagi menyelesaikan kes samun serta curi di perairan Indersabah, Tawau dan Semporna.

Katanya, ketiga-tiga suspek berjaya ditahan dalam serbuan di dua rumah tidak bernombor di Pulau Nusa Tengah dan Pulau Omadal.

“Dalam serbuan pertama, dua lelaki yang menyedari kehadiran pihak berkuasa di rumah mereka cuba melarikan diri.

“Salah seorang suspek bertindak agresif sehingga mencetuskan pergelutan dengan pasukan keselamatan namun akhirnya berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, pemeriksaan lanjut di rumah suspek berjaya menemui sepucuk pistol bersama peluru hidup disimpan di dalam beg silang.

Katanya, turut berjaya dirampas sebuah perahu dan enjin sangkut 30hp yang disyaki dicuri yang dianggarkan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM12,700 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Dalam serbuan kedua, di Pulau Omadal,  pasukan Khas ESSCOM dengan kerjasama pasukan polis marin membuat pemeriksaan di sebuah rumah tidak bernombor.

“Sebaik memperkenalkan diri sebagai anggota keselamatan, seorang lelaki tiba-tiba bertindak melarikan diri dan sekali lagi berlaku pergelutan sebelum berjaya ditahan,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fuad berkata, berikutan kejayaan penahanan tiga suspek terbabit, pihaknya percaya dapat menyelesaikan empat kes rompakan dan samun bersenjata yang berlaku di perairan Tawau dan Kunak.

“Semua suspek diserahkan kepada ibu pejabat Polis Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 (KK) samun berkawan bersenjata,” katanya.

Tamat