Lelaki dan Kerbau Ditemui Mati Dipercayai Terkena Renjatan Elektrik.

PAPAR: Seorang lelaki berusia 54 tahun maut bersama seekor kerbau selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Kuala Papar, di sini, hari ini.

Mayat lelaki berkenaan ditemui kira-kira jam 6 pagi oleh penduduk sebelum melaporkan kepada  pihak berkuasa untuk tindakan segera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Roslie Jun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.38 pagi sebelum mengerahkan sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya pasukan bomba di tempat kejadian mendapati, mangsa yang dikenali sebagai Salaman Dollah, terbaring di tepi pagar hadapan rumah bersama seekor kerbau jarak yang sangat hampir.

“Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik dari tiang elektrik yang terletak di kawasan hujung pagar tempat kejadian berkenaan.

“Pasukan Bomba terpaksa menunggu ketibaan pihak SESB untuk tindakan lanjut sebelum operasi mengambil mangsa dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Roslie berkata, hasil pemeriksaan pasukan perubatan hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, operasi tamat pada jam 8.36 pagi dan setakat ini punca kemalangan masih dalam siasatan pihak Jabatan Forensik Bomba.

Tamat