LELAKI HILANG SELEPAS BOT DINAIKI KARAM.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 50 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang bersama bot yang karam selepas dipukul ombak dalam kejadian di muara Sungai Bolong, Tuaran, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa dikatakan keluar memancing bersama tiga lagi rakannya menaiki sebuah bot gentian kaca.

Bagaimanapun, bot mereka dipukul ombak sehingga terbalik sebelum karam menyebabkan semua mangsa terpaksa menyelamatkan diri masing-masing.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama (M) Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Maritim Negeri Sabah, berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa yang hilang dikenali sebagai Manji Baka, dan dia dilaporkan karam bersama bot yang dinaiki.

“Tiga daripada mereka terselamat manakala mangsa karam bersama bot yang dinaiki. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah diaktifkan bermula jam 10.30 pagi tadi.

“Bot ronda APMM Kilat 39 dikerah ke lokasi pencarian bersama aset agensi lain antaranya, bot ronda PGR 6 (PDRM) dan pasukan BOMBA bersama sebuah jentera turut berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, keluasan pencarian mangsa merangkumi keluasan lima batu nautika persegi dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan karam.

Katanya, keadaan laut yang bergelora dan arus yang kuat ketika ini dipercayai menjadi punca kepada kejadian yang tidak ingini berlaku terutamanya kepada komuniti maritim.

“Justeru, Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim untuk sentiasa peka dengan keadaan laut dan cuaca semasa, sekiranya mahu melakukan aktiviti di laut.

“Pastikan keluar berkumpulan dan sentiasa memakai jaket keselamatan. Komuniti maritim juga disarankan untuk untuk memiliki ‘Personal Locator Becon’ (PLB), selain perlu membawa bersama alat keselamatan lain seperti wisel dan lampu suluh,” katanya.

Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia juga memohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk melaporkan kecemasan yang berlaku di sekitar perairan Kota Kinabalu ditalian Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah 088-387774 dan talian MERS 999.

Tamat