JKDM Sabah Rampas Dadah Bernilai RM1.2 Juta.

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas 30 kilogram dadah jenis syabu yang cuba diseludup di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

Semua dadah berkenaan yang disembunyikan di dalam beberapa bungkusan yang tidak dituntut dianggarkan bernilai kira-kira RM1.2 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, kes pertama dilaporkan pada 10 November lalu selepas pasukan operasi Kastam menahan dan menyita beberapa buah bungkusan yang tidak dituntut pemiliknya.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap bungkusan yang dihantar dari semenanjung itu didapati berisi hablur jernih dipercayai syabu seberat 30 kilogram.

“Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat berkaitan dengan kes ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Manakala dalam operasi berasingan, Abdullah berkata, pada 25 November lalu, anggota dan pegawai Cawangan Penguatkuasaan LTAKK sekali lagi melakukan serbuan di sebuah premis di Tuaran.

Katanya, ia berikutan terdapat bungkusan yang dituntut oleh pemilik yang turut disyaki mempunyai bahan terlarang.

“Hasil serbuan yang turut menggunakan khidmat anjing pengesan itu berjaya menemui dua bungkusan berisi dadah jenis ganja seberat 2.898 kilogram bernilai RM5,216.40.

“Dalam kes ini, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata, kes terbaru dilaporkan pada 30 November lalu apabila pihaknya berjaya merampas sebuah bungkusan yang disyaki bahan terlarang.

“Hasil pemeriksaan kargo dan pemeriksaan lanjut bungkusan berkenaan didapati berisi 2.874 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM5,173.20.

“Kita percaya kes berkenaan berkaitan dengan tangkapan sebelumnya kerana alamat yang ditulis di bungkusan berkenaan adalah sama dengan alamat ganja yang dirampas sebelum ini,” katanya.

Abdullah berkata, sejak Januari hingga November tahun ini, JKDM Sabah merampas dadah jenis syabu bernilai RM5.56 juta dan ganja bernilai RM37,142.82.

Tamat