IPD Penampang Keluarkan Keseluruhan Lebih 500 Kompaun.


PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang merekodkan pengeluaran lebih 500 kompaun terhadap orang ramai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, berdasarkan jumlah itu, IPD Penampang menjadi pengeluar kompaun tertinggi di seluruh daerah di Sabah.

Katanya, jumlah keseluruhan kompaun itu juga dianggarkan mencecah RM500,000 berdasarkan kepada nilai kompaun RM1,000 setiap satu.

“Kebanyakan kesalahan yang dicatatkan adalah membabitkan kegagalan orang awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Ia membabitkan kesalahan tidak memakai pelitup muka, berada di kawasan yang sesak dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal terutamanya di premis kafe dan restoran,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mohd Haris berkata, kebiasaannya operasi di premis kafe dan restoran mendapati pelanggan serta pemilik tidak mematuhi kapasiti meja ditetapkan.

Katanya, meja makan yang biasanya digunakan empat orang namun kini hanya dua orang dibenarkan manakala meja yang memuatkan enam orang kini hanya dibenarkan kepada tiga orang.

“Apabila SOP ini tidak dipatuhi, kita terpaksa mengeluarkan kepada kompaun pemilik serta pelanggan terbabit,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Haris mengingatkan masyarakat setempat supaya terus menuruti SOP yang ditetapkan walaupun kerajaan sudah melonggarkan beberapa syarat PKPB termasuk membenarkan rentas daerah serta negeri.

“Kita mesti mengamalkan SOP ditetapkan dan norma baharu ini kita perlu patuhi dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19 yang membahayakan kesihatan serta boleh membawa maut.

“Jangan disebabkan kelalaian, orang lain pun terjangkit dan sebab itu kerajaan terpaksa bertegas dalam hal ini bagi memastikan kita dapat memutuskan rantaian penularan Covid-19 ini,” katanya.

Tamat