Penampang: Lima pemandu ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Jalan Bundusan, di sini, malam tadi.
Operasi bermula jam 10 malam itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan kolaborasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 60 kenderaan ditahan untuk pemeriksaan.
Katanya, daripada jumlah itu, pemeriksaan mendapati lima individu berusia 20 hingga 40 tahun ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Kelima-lima individu terbabit ditahan mengikut Seksyen 45 A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1887 iaitu memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.
“Polis turut mengeluarkan 12 saman atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, mengubahsuai kenderaan dan lesen memandu tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Haris berkata, operasi ini dilakukan antaranya membanteras dan mencegah pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol yang boleh membahayakan keselamatan orang lain.
“Oleh itu, orang awam dinasihatkan supaya tidak memandu di bawah pengaruh alkoh bagi mengelak daripada risiko kemalangan jalan raya,” katanya.
Tamat









