Lahad Datu: Seorang kanak-kanak berusia 8 tahun maut selepas dibaham buaya dalam kejadian di sungai Kampung Sabah Baru, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa dikatakan bersama seorang lagi rakan sebayanya mandi di sungai berkenaan sebelum secara tiba-tiba diserang buaya.
Rakan mangsa yang terkejut terus bergegas lari pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian itu kepada bapa mangsa.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, polis yang menerima maklumat kemudiannya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk meminta bantuan operasi mencari mangsa.
Katanya, selepas beberapa jam pencarian, mangsa akhirnya berjaya ditemui terapung kira-kira dua meter daripada lokasi kejadian.
“Mayat mangsa ditemui pada jam 3.30 petang. Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 20 meter daripada lokasi rumah mangsa.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di pinggang, perut dan dada. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Rohan berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat.
Katanya, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Sehubungan itu, Rohan menasihati orang ramai yang tinggal di pesisir sungai dan pantai supaya sentiasa berhati-hati dengan kemungkinan serangan reptilia berkenaan.
Tamat










