Kota Kinabalu: Lapan individu dikenakan kompaun di sebuah premis pusat hiburan di KK Waterfront, di sini, selepas didapati tidak mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
Dalam operasi jam 12.10 tengah malam itu, premis hiburan berkenaan juga didapati beroperasi melebihi masa ditetapkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika serbuan dilakukan, polis mendapati premis berkenaan masih beroperasi dan muzik sedang rancak dimainkan.
Katanya, kebanyakan pelanggan juga didapati sedang berhibur serta meminum minuman beralkohol.
“Hasil pemeriksaan mendapati pekerja dan penjaga premis berkenaan membenarkan pelanggan duduk dan minum minuman beralkohol di dalam premis.
“Pemis berkenaan bukan saja beroperasi melebihi malah pemerhatian mendapati pelanggan juga tidak mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, polis kemudiannya mengeluarkan kompaun terhadap lapan individu mengikut Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah—Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan Tempatan) No.8 tahun 2020.
“Semua yang dikenakan kompaun berusia 19 hingga 33 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, operasi berkenaan adalah hasil operasi tugas pemantauan OP COVID 19 (PKPB).
Tamat








