Kota Kinabalu: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu melancarkan operasi khas yang menumpukan kepada penunggang motosikal membabitkan perkhidmatan penghantar makanan dan barangan (P-Hailing), di sekitar pusat bandar, hari ini.
Dalam operasi bermula jam 10.15 pagi itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (IPD) Kota Kinabalu menjalankan pemeriksaan terhadap 280 pelbagai jenis kenderaan.
Selain itu, operasi turut menjalankan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya membabitkan 326 individu menggunakan sistem MCops.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi dijalankan membabitkan seorang pegawai dan 11 anggota.
Katanya, sepanjang operasi itu, polis mengeluarkan sebanyak 108 saman atas pelbagai kesalahan.
“Mengikut pecahan, saman dikeluarkan membabitkan 75 kesalahan berkenaan enam kesalahan utama.
“Manakala 33 keping lagi adalah saman atas kesalahan halangan dan abai isyarat lalu lintas,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Habibi berkata, operasi ini bertujuan mendidik dan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang jalan raya terutamanya lampu isyarakat.
Katanya, penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pemandu-pemandu mematuhi undang-undang dan peraturan lalulintas.
Tamat









