Kota Kinabalu: Sepasang lelaki dan wanita yang dikesan menjalankan aktiviti pengedaran dadah rentas daerah, ditahan polis dalam serbuan di sebuah bilik sewa di Asia City, di sini, semalam.
Dalam serbuan jam 5.29 petang itu, kedua-dua individu berusia 29 tahun terbabit ditahan bersama satu paket syabu seberat 24.69 gram yang dianggarkan bernilai RM2,469.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu, hasil maklumat risikan.
Katanya, suspek membabitkan wanita warga tempatan dan seorang lelaki warganegara asing yang menjadi dalang sindiket pengedaran dadah di daerah ini.
“Hasil siasatan, suspek wanita terbabit dipercayai memainkan peranan untuk mendapatkan bekalan dadah daripada daerah Lahad Datu sebelum diberikan kepada suspek lelaki untuk dijual.
“Kedua-dua suspek mengaku mengambil bekalan dadah jenis syabu dengan harga RM1,200 sebelum dijual semula dengan harha RM1,800,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Habibi berkata, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah aberbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun.
Selain itu katanya, pesalah turut boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman di lokap berpusat Kontijen Sabah untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.
Tamat









