Anak Beranak Pengedar Dadah Dicekup.


Lahad Datu: Jalan pintas untuk kehidupan mudah, seorang lelaki berusia 60 tahun sanggup mengambil upah mengedar dadah bersama anak lelakinya berusia 18 tahun.

Bagaimanapun kegiatan dua beranak itu akhirnya terbongkar apabila mereka ditahan polis dalam Op Tapis di sebuah kawasan kebun sawit di Kampung Cocos, di sini, jam 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, kedua-dua suspek terbabit ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dengan dibantu anggota Balai Polis Desa Kencana dan Tambisan.

“Bertindak di atas hasil risikan dan pengumpulan maklumat yang dijalankan berjaya menahan dua lelaki dan merampas satu beg plastik warna hitam yang di dalamnya mengandungi dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 501.60 gram bernilai RM50,160.

“Turut dirampas iaitu sebuah kereta Proton Saga BLM. Semua jumlah rampasan termasuk kereta dianggarkan bernilai RM79,160,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan Shah berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek adalah bapa dan anak kandung.

“Kedua-dua mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hidup dengan hasil upah mengedar dadah di sekitar daerah ini.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah kepada beliau sendiri atau mana-mana pegawai yang bertanggungjawab di IPD Lahad Datu dalam usaha pembanterasan najis dadah secara total di daerah ini supaya dapat dicapai.

Tamat