PDRM Patahkan Kegiatan Ah Long Tidak Berlesen.

Kota Kinabalu: Cuba serang menggunakan gunting dan mengugut peminjam yang gagal melunaskan hutang. Itu tindakan beberapa pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ yang berjaya ditahan polis di Sandakan.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi Selasa lalu, seorang mangsa lelaki berusia 38 tahun dikatakan meminjam sebanyak RM800 daripada kumpulan ah long berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa gagal menjelaskan hutang yang dinaikkan menjadi RM1,600 itu selepas ditagih kumpulan ‘ah long’ berkenaan dengan alasan baru saja mendapat kerja sebagai pembantu restoran.

Akibat daripada kegagalan mangsa menyelesaikan hutang, salah seorang ‘ah long’ cuba menyerang mangsa dengan gunting namun berjaya ditenangkan oleh rakan suspek.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada suspek, polis melancarkan operasi memburu semua suspek yang terbabit.

Katanya, hasil siasatan polis berjaya menahan tujuh lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 40 tahun untuk membantu siasatan lanjut.

“Laporan polis dibuat selepas mangsa berasa terancam dengan tindakan salah seorang suspek yang terbabit yang cuba menyerangnya menggunakan gunting.

“Mangsa yang bimbang dengan keselamatannya membuat laporan polis dan gerakan memburu suspek terbabit terus dijalankan polis,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Mazli berkata, tangkapan berjaya dilakukan terhadap semua suspek yang terbabit sehari selepas suspek membuat laporan polis.

Katanya, siasatan mendapati modus operandi yang digunakan kumpulan ‘ah long’ berkenaan adalah menjalankan perniagaan memberi pinjaman tanpa lesen dengan mengenakan caj faedah yang tinggi.

“Semua suspek ditahan berperanan sebagai pengurus pinjaman, pengutip hutang dan pembantu ah long untuk memaksa mangsa menyelesaikan hutang.

“Semua suspek kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1961,” katanya.

Mazli berkata, polis turut merampas 11 telefon pintar, dua set surat perjanjian pinjaman dan pelbagai dokumen lain berkaitan untuk membantu siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Mazli menasihatkan masyarakat supaya tidak meminjam wang daripada pemberi pinjaman tidak berlesen.

Tamat