Kota Kinabalu: Suspek utama kes rusuhan sehingga menyebabkan kematian di sebuah restoran di Jalan Beaufort Jaya, di sini, Jumaat lalu, dipercayai masuk ke Sarawak untuk menyembunyikan diri.
Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah sudah berhubung dengan IPK Sarawak bagi mengesan suspek yang dikenali sebagai Hobalan N Vello, 37, atau ‘Jimmy Black’ bersama seorang lagi rakannya, Kesavan Perambalam, 34.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, polis percaya suspek sudah melarikan diri pada malam kejadian.
Katanya, pemeriksaan dengan pelbagai pihak termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Labuan mendapati tiada sebarang rekod suspek keluar daripada negeri ini.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, suspek bukan lagi Orang Dibawah Pengawasan Polis dan kali terakhir dikenakan pengawasan adalah pada 2008 lalu.
“Suspek yang berasal dari Semenanjung Malaysia sudah berkahwin dengan wanita tempatan dan mempunyai 5 orang anak hasil perkahwinan berkenaan.
“Berdasarkan rekod, suspek tidak lagi mempunyai sebarang kes siasatan jenayah sejak tahun 2008 hingga tarikh kejadian terbaru ini,” katanya pada sidang media di IPK Sabah, hari ini.
Hazani berkata, sebarang maklumat berhubung keberadaan suspek boleh disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, dalam mengendalikan kes ini, segala tindakan polis tidak menyebelahi mana-mana pihak malah polis sudah menahan isteri dan rakan suspek serta direman bagi membantu siasatan.
“Polis dengan sedaya upaya menggerakkan seluruh jentera dari pelbagai Jabatan dalam Polis Kontinjen Sabah dan Sarawak untuk mengesan dan menangkap suspek utama dalam kes ini.
“Kita mohon semua pihak supaya bertenang dan berilah masa untuk polis untuk menjalankan siasatan lanjut dalam kes ini.
“Orang awam juga amat dialu-alukan untuk membantu dalam mengesan suspek yang terbabit dengan menghubungi balai polis terdekat,” katanya.
Hazani berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 148 dan 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh dengn senjata dan menyebabkan kematian.
Katanya, kes ini bukanlah membabitkan serangan bersenjata kumpulan gangster ke atas mangsa tetapi siasatan mendapati serangan dilakukan oleh sekumpulan lelaki tempatan dalam keadaan mabuk.
“Hasil siasatan, jelas pihak perusuh iaitu lima lelaki tempatan semasa kejadian berada dalam keadaan mabuk dan mengakui pergi beramai-ramai ke restoran berkenaan untuk membuat rusuhan dengan memecahkan kerusi dan meja restoran.
“Serangan ini bermula, apabila kumpulan lelaki tempatan yang mabuk ini tidak berpuashati dengan pemilik restoran iaitu suspek utama yang tidak senang dengan kehadiran pembeli arak yang mabuk dan dikatakan menganggu perniagaannya,”’tegasnya.
Sementara itu, Hazani menafikan pihaknya ada menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 untuk mereka yang menyalurkan maklumat sehingga berjaya membantu menahan suspek.
Katanya, orang ramai diminta supaya menghentikan mesej di aplikasi Whatsapp dan laman sosial itu kerana dibimbangi boleh mengganggu siasatan polis.
“Polis ingin menegaskan sekali lagi, kes ini tidak berkaitan dengan unsur perkauman atau gengsterisme dan semua pihak diminta tidak memainkan sentimen perkauman bagi menjamin keharmonian dan keselamatan masyarakat terjamin,” tegasnya.
Tamat







