Rakan ‘Jimmy Black’ Ditahan


Beaufort: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang daripada suspek dikehendaki membabitkan kes rusuhan sehingga menyebabkan kematian yang berlaku di Restoran My Heaven Seafood, di Jalan Beaufort Jaya, jumaat lalu, dalam operasi malam tadi.

Suspek, Kesavan Perembalam, 34, berjaya ditahan jam 9 malam, di kawasan bangunan kedai, Lorong 3, Bandar Mingo, di sini.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, hasil maklumat dan risikan berterusan, polis berjaya mengesan lokasi dipercayai tempat persembunyian suspek.

Katanya, polis kemudiannya berjaya menahan seorang daripada suspek dikehendaki dan usaha mengesan seorang lagi iaitu suspek utama ‘Jimmy Black’ masih diteruskan.

“Suspek ditahan mengikut Seksyen 148 Kanun keseksaan kerana memiliki senjata semasa rusuhan dan Seksyen 302 Kanun Keseksaam bagi kesalahan membunuh.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 26 Disember depan bagi membantu melengkapkan siasatan bersangkut kes ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Azmir berkata, siasatan masih diteruskan dan sebarang maklumat berhubung keberadaan suspek utama yang dikehendaki boleh disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Azmir berkata, dalam serbuan di sebuah pondok di kawasan Kebun Sawit, Kampung Balibata, di sini, yang dipercayai menjadi tempat persembunyian suspek utama membawa kepada penemuan sejumlah rokok seludup tidak bercukai.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 29,400 bungkus rokok seludup pelbagai jenama yang diseludup masuk untuk pasaran tempatan.

“Antara rokok yang ditemui adalah jenama Stone Bold, Era, Memory Classic, Memory Menthol, Era Ice Plus dan Era Black Ice.

“Semua rokok ini kemudiannya dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tamat