Seorang Maut, Tanah Runtuh Bandar Sierra.


Kota Kinabalu: Seorang pekerja binaan warga Indonesia maut selepas tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Lama Tuaran, Bandar Sierra, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa Sukirman Rappe, 43, dikatakan sedang menjalankan kerja-kerja pengambilan tanah menggunakan jengkaut di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, tanah di kawasan berkenaan tiba-tiba runtuh sehingga menyebabkan mangsa tersepit di celah runtuhan.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.09 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota diketuai Pegawai Bamba Kanan II, Rozam Shah Rahmat dikerah ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera FRT dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati tersepit di dalam runtuhan tanah dan operasi menyelamatkan mangsa segera dijalankan.

“Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan pada jam 5.12 petang oleh pasukan bomba namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

Tamat