Kota Kinabalu: Tiga kru nelayan tempatan yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemui selamat oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), hari ini.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, semua ketiga-tiga nelayan itu ditemui di kedudukan kira-kira 160 batu nautika barat laut, perairan Permatang Ubi, di sini.
Menurut laporan, bot yang dinaiki nelayan terbabit disertai 12 kru serta tekong untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan berkenaan.
Bagaimanapun, tiga nelayan berkenaan yang menaiki tiga bot pancing sokongan hilang dan terputus hubungan dengan bot induk dipercayai akibat cuaca yang buruk.
Pegawai Memerintah KD Todak, Leftenan Komander Mohd Rozaimi Mahmod berkata, KD Todak yang sedang melaksanakan operasi di kawasan berkenaan kemudian diatur gerakkan bagi menjalankan operasi pencarian mangsa yang hilang.
Katanya, selepas hampir tujuh jam dalam operasi mencari dan menyelamat akhirnya ketiga-tiga kru nelayan tempatan yang dilaporkan hilang berjaya ditemui.
“Ketiga-tiga kru itu ketika ditemui sedang berapung dan berada dalam keadaan yang sangat lemah kerana hampir dua hari terputus bekalan makanan.
“Seterusnya kapal menghulurkan bantuan awal dengan menyediakan makanan dan minuman panas sebelum menyerahkan kru terbabit kepada bot induk untuk belayar pulang ke Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Menurutnya, kapal-kapal TLDM khususnya dibawah naungan Markas Pemerintahan Armada Timur akan terus melaksanakan operasi dan rondaan untuk memastikan keselamatan perairan Sabah dan Sarawak terpelihara seterusnya memberi khidmat bakti kepada rakyat Malaysia.
tamat








