Fenomena Air Pasang, Dua Rumah Hampir Roboh.


Kota Kinabalu: Seramai 17 keluarga terpaksa dipindahkan selepas dua rumah hampir roboh manakala beberapa rumah dimasuki air susulan kejadian fenomena air pasang besar di Kampung Tanjung Aru, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian seawal kira-kira jam 8 malam itu, seramai 99 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing selepas kerana bimbang tahap keselamatan mereka terjejas.

Semua penduduk berkenaan kemudiannya ditempatkan di balai raya serta surau kampung berkenaan selain ada yang menumpang di rumah saudara mara.

Salah seorang penduduk, Nabsah Darudin, 59, berkata, dia dan keluarga hanya sempat menyelamatkan dokumen penting serta beberapa barang keperluan lain ekoran rumahnya hampir roboh akibat fenomana air pasang besar.

Katanya, ketika kejadian dia berada ditempat kerja dan hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi salah seorang anaknya.

”Rumah saya mulai dimasuki air dan menjejaskan struktur rumah sejak semalam (Selasa) namun ia bertambah teruk malam tadi.

Seorang lagi penduduk, Mohd Yusri Jamrin, 45, berkata, ini malam kedua rumahnya dimasuki air dan hari ini (semalam) kalau mengikut carta (air pasang) adalah yang tertinggi iaitu 2.09 meter.

”Kejadian ini juga menyebabkan sedikit kerosakan pada rumah saya kerana air memasuki kawasan ruang tamu serta bilik utama.

“Buat masa ini, saya bersama keluarga tinggal di rumah saudara kerana risau dengan keselamatan kami,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Bonnie Madisun ketika dihubungi berkata, seramai tujuh anggota yang diketuai Safaruddin Rusline ditugaskan untuk memantau keadaan di kampung itu.

Katanya, pihaknya juga menasihatkan penduduk kampung yang rumahnya berisiko untuk dinaiki air supaya berpindah sementara di balai raya dan di surau kampung berkenaan.

Tedahulu, fenomena air pasang besar itu turut berlaku di beberapa kawasan lain termasuk di Kawasan Tanjung Lipat di Likas.

Tamat