Warga Asing Ditahan Bersama 56.48 Gram Syabu.

Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga asing yang bertindak sebagai orang tengah kepada sindiket pengedaran dadah berjaya ditahan polis di Kampung Lok Baru, Pulau Gaya, di sini, selasa lalu.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, lelaki berusia 20 tahun terbabit ditahan bersama 56.48 gram syabu yang dipercayai untuk dijual kepada penagih di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi dijalankan sepasukan anggota dan pegawai yang diketuai Ketua Balai Pulau Gaya Asisten Superintendan Mohd Alamshah Gulam.

Katanya, dalam serbuan itu, polis berjaya merampas tujuh paket syabu yang disembunyikan di dalam plastik hitam dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Hasil siasatan awal, suspek yang juga seorang pengganggur mengaku sudah lama bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah dengan upah RM25 hingga RM30 sehari.

“Suspek berperanan sebagai orang tengah untuk mengedarkan dadah di kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, hasil daripada tangkapan itu, polis turut merampas telefon bimbit suspek bersama wang tunai berjumlah RM1,174.

Katanya, dadah yang dirampas pula dianggarkan bernilai RM5,648 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek pula didapati negatif serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Habibi berkata, suspek kini ditahan reman bermula semalam, untuk siasatan lanjut.

Tamat