18 Serbuan dan 115 Ditahan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali

Kota Kinabalu: Seramai 115 individu berjaya ditahan dalam 18 serbuan membabitkan operasi Op Limau dijalankan selama dua minggu di seluruh negeri, yang berakhir, semalam.

Semua yang ditahan membabitkan 90 lelaki dan 25 wanita berusia lingkungan 20 hingga 80 tahun atas pelbagai kesalahan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, operasi berkenaan dijalankan sempena tahun baharu cina tahun ini selain memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

Katanya, operasi dimulakan sejak 1 Februari lalu turut menumpukan aktiviti perjudian ketika perayaan ini di seluruh negeri Sabah.

“12 serbuan adalah aktiviti perjudian membabitkan judi jenis paikaw, mahjong dan daun terup.

“Manakala enam lagi serbuan adalah membabitkan aktiviti sabung ayam menjadikan tangkapan keseluruhannya 115 individu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Hazani berkata, hasil kejayaan serbuan ini, polis turut berjaya merampas wang tunai sebanyak RM118,942 yang digunakan dalam aktiviti perjudian berkenaan.

Selain itu katanya, semua individu yang ditahan turut dikenakan kompaun kerana melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Polis akan terus meningkatkan risikan dan pengumpulan maklumat kes jenayah sama ada membabitkan kes perjudian, pusat hiburan atau perlanggaran SOP yang sedang dikuatkuasakan.

“PDRM Sabah turut mengalu-alukan orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPK Sabah ditalian 088-318555,” katanya.

Sementara itu, Hazani berkata, bagi operasi pemantauan pematuhan SOP yang dijalankan bermula 11 hingga 14 Februari pula, pihaknya sudah mengeluarkan sebanyak 116 kompaun.

Katanya, polis sedia maklum banyak aktiviti sudah dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) namun pihaknya akan memastikan SOP ditetapkan terus dipatuhi.

Tamat