Beaufort: Kecekapan pasukan polis daerah ini menjalankan siasatan berjaya mematahkan aktiviti pengedaran dadah dalam dua siri tangkapan membabitkan tiga individu, semalam.
Serbuan pertama berjaya dilakukan pada jam 8.40 pagi di sebuah rumah di Kampung Mempagar, di sini, dan menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang disyaki terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir A Razak berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui 16 paket plastik pelbagai saiz disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 8.34 gram.
Katanya, semua dadah kemudiannya dirampas dan dibawa balik ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Beaufort untuk tindakan selanjutnya.
“Hasil ujian awal saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methapetamine.
“Suspek akan ditahan reman untuk siasatan selanjutnya mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Azmir berkata, kejayaan tangkapan kedua pula dilakukan pada jam 4 petang dengan menahan sebuah kereta Perodua Axia di belakang bangunan Hotel Gem, di sini.
Katanya, dua lelaki berusia 24 dan 35 tahun yang berada di dalam kenderaan berkenaan kemudiannya ditahan untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui 26 paket plastik pelbagai saiz mengandungi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu anggaran berat kasar 13.38 gram.
“Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek turut dapati positif dadah,” katanya.
Azmir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1953, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Tamat











