Geng Taufiq Tumpas.

PENAMPANG: Kecekapan polis daerah ini menjalankan siasatan berjaya menumpaskan ‘Geng Taufiq’ dengan tertangkapnya dua lelaki termasuk seorang remaja.

Kedua-dua penjenayah terbabit berjaya ditahan dalam tempoh beberapa jam selepas memecah masuk sebuah premis kedai.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim berkata, syspek yang ditahan membabitkan seorang lelaki berusia 31 tahun bersama seorang lagi remaja warganegara Filipina berusia 13 tahun.

Katanya, polis percaya penangkapan kedua-dua suspek itu berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes pecah masuk membabitkan premis perniagaan sekitar Beverly Hill dan Bundusan.

“Kejadian pecah masuk terbaru membabitkan laporan pecah masuk premis perniagaan yang dibuat seorang pemilik kedai kira-kira jam 7.30 pagi pada Isnin lalu.

“Dalam kejadian itu, pemilik kedai mendapati seutas jam tangan miliknya hilang selain keadaan barang-barang dalam kedai turut berselerak,” katanya ketika sidang media selepas Sambutan Hari Polis ke 214 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini, hari ini.

Mohd Haris berkata, siasatan yang dijalankan serta-merta kemudiannya berjaya membawa kepada penahanan dua lelaki terbabit di pintu masuk sebuah pusat beli-belah kira-kira jam 9 pagi hari sama.

Katanya, kumpulan penjenayah ini menyasarkan premis perniagaan samaada restoran, kedai runcit dan kedai perkakasan.

“Kumpulan ini dikesan mula aktif melakukan kegiatan jenayah pecah masuk dan curi sejak awal Januari tahun ini.

“Setiap hasil curi dipercayai digunakan suspek untuk bersuka ria termasuklah menginap di hotel sekitar bandar raya Kota Kinabalu,” katanya.

Mohd Haris berkata, semua suspek direman selama empat hari bermula 23 sehingga 26 Mac depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah masuk dan curi.

Tamat