Indeks Kes Jenayah Menurun.


KOTA KINABALU: Jenayah indeks membabitkan pelbagai kes di daerah Kota Kinabalu menunjukkan penurunan sepanjang tempoh tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, antara jenayah yang paling menunjukkan penurunan ketara adalah jenayah rogol.

Katanya, berdasarkan rekod, kes jenayah berkenaan menunjukkan penurunan sebanyak 11 kes bersamaan 33.33 peratus.

“Statistik pada tahun 2019 mencatatkan sebanyak 33 kes dan jumlah ini menurun kepada 22 kes tahun lalu manakala penyelesaian bagi kedua-dua tahun menunjukkan prestasi memberangsangkan iaitu masing-masing 96.97 dan 95.45 peratus pada 2020.

“Selain itu, kes bunuh dan samun berkawan tanpa senjata api juga mencatatkan penurunan masing-masing satu kes dan empat kes,” katanya.

Habibi berkata, bagi kes samun tanpa senjata api pula meningkat sembilan kes manakala kes mencederakan mengikut Seksyen 324 dan 326 bertambah enam kes.

Katanya, bagi kes samun berkawan bersenjata dan samun bersenjata api pula tidak mencatatkan sebarang kes tahun lalu.

“Sepanjang tahun lalu IPD Kota Kinabalu menerima sebanyak 1004 kes dan kita berjaya menyelesaikan 619 kes secara keseluruhannya.

“Bagi tiga bulan pertama tahun ini sejumlah 223 kes sudah dicatatkan berbanding 227 pada tahun lalu dengan penurunan sebanyak empat kes,” katanya.

Tamat