KOTA KINABALU: Tiga teras utama dirangka dalam usaha membangunkan negeri Sabah dalam tempoh lima tahun yang berakhir 2025 dalam Pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tiga teras yang dirangka itu akan dipacu oleh lima pemboleh daya antaranya kemudahan kewangan dan kemampanan fiskal.
Selain itu katanya, ia juga dipacu dengan keberkesanan dan kecekapan penyampaian dan kecemerlangan tadbir urus berintegiriti serta kerajaan digital.
“S’ merujuk kepada tiga sektor utama fokus pertumbuhan ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.
“M’ – pula merujuk modal insan dan kesejahteraan rakyat manakala J – merujuk jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Hala Tuju SMJ, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, SMJ adalah hala tuju bersama untuk memajukan negeri dan rakyat Sabah secara amnya.
Katanya, terdapat lima objektif untuk pelaksanaan pelan SMJ iaitu membina negeri dan masyarakat yang bersatu padu, aman, makmur dan sejahtera dan mengoptimumkan sumber dan hasil negeri.
“Selain itu, ia juga bagi merangsang pemulihan ekonomi dan meningkatkan ekonomi rakyat serta membangunkan modal insan.
“Pelan SMJ ini akan bergerak seiring dengan agenda pembangunan nasional di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.
Tamat






