Suspek Cederakan Pemandu Kenderaan Berjaya Ditahan.

Kota Kinabalu: Pemandu Perodua Alza yang membelasah seorang lelaki menggunakan batang paip sehingga patah tujuh gigi berjaya ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek berusia 35 tahun ditahan di kawasan Kepayan kira-kira jam 2 petang tadi.

Katanya, kereta Perodua Alza dan senjata yang digunakan iaitu sebatang cota juga berjaya dirampas bagi membantu siasatan lanjut.

“Suspek adalah warganegara Filipina dan berada di negara ini secara sah menggunakan pasport.

“Esok suspek akan dibawa ke mahkamah Majistret untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya pada sidang media pada majlis bersama media, di sini, hari ini.

Habibi berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

“Suspek akan direman esok untuk tujuan siasatan lanjut manakala mangsa kini sudah sedarkan diri serta dalam keadaan stabil,” katanya.

Tamat