Labuan: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang bertindak ‘ganas’ merempuh kereta peronda ketika cuba meloloskan diri sehingga memaksa polis melepaskan tembakan dalam kejadian di Jalan bunga Mawar, di sini, semalam.
Bagaimanapun, kejadian jam 9.30 malam itu, tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada suspek atau orang awam di lokasi kejadian.
Suspek akhirnya berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati terdapat beberapa paket plastik lut sinar berisi bahan kristal dipercayai dadah jenis syabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, kejadian berkenaan didapati sempat dirakam oleh orang awam sehingga tular media sosial.
Katanya, kejadian membabitkan suspek berusia 44 tahun yang dikesan mencurigakan di dalam sebuah kenderaan Mitsubishi Lancer berwarna putih.
“Kereta peronda polis kemudiannya mengekori kenderaan berkenaan namun suspek yang dipercayai menyedari kehadiran polis terus bertindak memecut laju dipercayai untuk meloloskan diri.
“Kereta suspek bagaimanapun terkandas selepas merempuh sebuah Toyota Hilux milik bahagian penguatkuasaan Perbadanan Labuan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Ibrahim berkata, suspek kemudiannya bertindak mengundurkan kenderaannya sehingga terlanggar kereta peronda polis sebelum sekali lagi merempuh pacuan empat roda dihadapannya.
Katanya, dalam keadaan terancam, anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta suspek bagi memberhentikan kenderaan berkenaan.
“Suspek kemudiannya berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati suspek membawa lapan paket plastik dipercayai dadah jenis syabu.
“Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh anggota polis bertugas,” katanya.
Mohd Ibrahim berkata, suspek didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing selain turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan sama tahun lalu.
Katanya, suspek turut pernah ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB pada tahun 2018 dan 2020.
“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan selanjutnya,” katanya.
Tamat







