Piala BMR, Kota Kinabalu Benam Papar 4-0.

Kota Kinabalu: Pasukan Kota Kinabalu berjaya membenam pasukan Papar dalam kejohanan Piala Dato Sri Bung Moktar Radin yang membuka tirainya, petang tadi.

Biarpun dilihat mendominasi sebahagian besar perlawanan, pasukan Kota Kinabalu bagaimanapun hanya berjaya membuka jaringan pada minit ke-23 menerusi Joel Yundr Jeffri.

Perlawanan untuk zon Pantai Barat itu lebih banyak berlegar di tengah padang selain menyaksikan beberapa percubaan pasukan Papar tersasar selain berjaya dikekang pertahanan lawan.

Serangan bertali arus yang dilakukan pasukan Kota Kinabalu selepas itu semakin sukar dikawal apabila tuan rumah sekali lagi mendapat gol pada minit ke 41.

Kali ini gol diperolehi menerusi penyerang utamanya Mohd Safudin Abdullah hasil gerakan cantik daripada perancang pasukan di bahagian tengah.

Sebaik separuh masa bermula, pasukan Kota Kinabalu hanya memerlukan masa enam minit untuk menambah satu lagi jaringan gol menerusi Adzry Al Naser.

Pasukan Papar cuba mengubah strategi apabila membawa masuk empat pemain gantian dalam tempoh 10 minit masa kedua.

Beberapa gerakan serangan berbahaya berjaya dilakukan dari pelbagai sudut namun beberapa percubaan tersasar selain dipatah pertahanan lawan.

Sebaliknya pasukan Kota Kinabalu semakin garang apabila menambah jaringan kepada empat gol sekali lagi menerusi penyerang berbisa Mohd Safudin Abdullah pada minit ke 56.

Untuk rekod, pasukan Papar akan bertemu Pasukan Putatan yang dijadualkan berlangsung di Padang Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) esok sebelum perlawanan terakhir membabitkan pasukan Kota Kinabalu menentang pasukan Putatan.

Kejohanan Piala Dato Sri Bung Moktar Radin yang diadakan membabitkan pemain bawah 18 tahun itu akan berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini.