Piala BMR: Bandaraya Kota Kinabalu Ungguli Zon Pantai Barat.


Kota Kinabalu: Pasukan Bandaraya Kota Kinabalu berjaya mengungguli Kejohanan Piala Dato Sri Bung Moktar Radin bagi zon Pantai Barat, hari ini.

Kejayaan itu dicapai selepas menewaskan pasukan Putatan 1-0 dalam perlawanan yang cukup sengit yang diadakan di Padang Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di sini.

Kejayaan itu ternyata bukan mudah untuk dicapai apabila Pasukan Kota Kinabalu terpaksa berhempas pulas menunggu sehingga ke separuh masa kedua untuk menjaringkan gol pada minit ke-65.

Gol dijaringkan pemain memakai jersi nombor 10, Mohd Saifudin Abdullah menerusi percubaan dari luar kotak penalti.

Pasukan Putatan yang tewas kepada Papar dalam perlawanan semalam bagaimanapun menunjukkan aksi lebih garang seawal minit pertama perlawanan.

Beberapa gerakan serangan bertali arus yang direncanakan pemain bahagian tengah bagaimanapun gagal mencetak gol untuk pasukan Putatan.

Kedua-dua pasukan terus cuba mendapatkan gol masing-masing termasuk membuat beberapa pertukaran pemain namun gagal mencari gol sehingga ke wisel penamat.

Hadiah kejohanan disampaikan Presiden SAFA Bandaraya Kota Kinabalu Alijus Sipil.

Sementara itu, Alijus dalam ucapannya berkata, penganjuran kejohanan berkenaan memberi peluang kepada anak muda untuk mempamerkan bakat masing-masing.

Katanya, usaha untuk membangunkan bola sepak akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan penganjuran kejohanan berprestij seperti ini di masa akan datang.

“Kejohanan seperti ini bukan saja menilai bakat dan kualiti kejohanan, malah memperkasakan kemampuan pemain untuk dijadikan pelapis bagi pasukan Sabah.

“Kejayaan sesebuah kejohanan seperti ini mampu membawa bola sepak tempatan ke tahap yang boleh dibanggakan. Untuk anak-anak muda, teruskan usaha untuk mencapai kejayaan lebih tinggi di masa akan datang,” katanya.

Untuk rekod, tempat kedua untuk kejohanan Piala Dato Sri Bung Moktar Radin bagi zon Pantai Barat dimenangi pasukan Papar manakala pasukan Putatan berada di tempat ketiga.

Tamat