TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan sebuah bot penumpang membabitkan warga asing yang dipercayai cuba memasuki perairan daerah ini, semalam.
Bot yang membawa empat warga Indonesia itu kemudiannya diusir keluar sebagai usaha untuk pencegahan penularan wabak Covid-19 di daerah Tawau.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati, semua penumpang terbabit berusia lingkungan 27 hingga 54 dan dikenalpasti sebagai warganegara Indonesia.
Katanya, ketika ditahan, juragan dan penumpang kemudiannya diberi penerangan berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid -19 yang dikuatkuasakan.
“Penerangan diberikan berhubung ketetapan perintah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998.
“Bot berkenaan terus diiring keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak kembali ke perairan negara ini bagi mengekang penularan wabak penyakit covid-19,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Nazari berkata, Ops Benteng kini memberi fokus kepada pendekatan pengusiran terhadap pendatang tanpa izin dan kemasukan warga asing berbanding tangkapan sebelum ini.
Katanya, pihak berkuasa mengambil pendekatan dengan langkah pencegahan awal supaya tiada kemasukan warganegara Indonesia melalui perairan laut Tawau seterusnya mencegah peningkatkan kes COVID-19 di daerah Tawau.
“Kita membuat keputusan dari aspek Ops Benteng di mana penguatkuasaan akan mengusir mereka sebelum memasuki kawasan sempadan perairan negara kita,” tegasnya.
Tamat







