PDRM Akan Ambil Tindakan POCA Terhadap Jenayah Curi Air Dan Elektrik.

Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah akan menguatkuasakan Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959, terhadap jenayah membabitkan kes curi air dan elektrik.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, ini berikutan kegiatan berkenaan menyebabkan kerugian yang amat tinggi terhadap dua agensi berkaitan iaitu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati dua agensi berkenaan mengalami kerugian mencecah lebih RM100 juta setiap tahun akibat kegiatan berkenaan.

“Difahamkan, SESB mengalami kerugian sekitar RM30 juta akibat sindiket curi elektrik manakala JANS pula berdepan kerugian mencecah RM70 hingga RM80 juta setiap tahun.

“Saya sudah berbincang dengan Bukit Aman dan kedua-dua agensi berkenaan. Tindakan akan dilancarkan pada bila-bila masa sesuai,” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas membabitkan tujuh pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Hazani berkata, hasil maklumat yang diterima, ada sindiket yang meraih keuntungan lumayan dengan menjalankan kegiatan ini terutamanya di kawasan setinggan di seluruh negeri ini.

Katanya, beliau juga sudah mengarahkan semua ketua-ketua polis daerah di seluruh negeri supaya segera mengenalpasti kawasan-kawasan setinggan di daerah masing-masing.

“Maklumat itu penting bagi membolehkan polis mengambil tindakan yang sewajarnya selepas masalah COVID-19 selesai.

“Isu setinggan dan pendatang asing tanpa izin (PTI) ini sudah berlarutan di Sabah sejak puluhan tahun lalu dan kita akan mencadangkan kepada kerajaan negeri dan pusat untuk memandang serius terhadap kedua-dua isu berkenaan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Pil Captagon yang dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) di semenanjung Malaysia, baru-baru ini, Hazani berkata, setakat dadah berkenaan masih belum dikesan di negeri ini.

Katanya, beliau juga dimaklumkan pil berkenaan bukan untuk pasaran tempatan namun negara ini termasuk Sabah dijadikan tempat transit sebelum dibawa masuk ke negara jiran.

“Pasaran dadah berkenaan untuk negara jiran namun kita akan pastikan ia tidak dibawa masuk ke negara ini kerana ia banyak digunapakai oleh kumpulan pengganas,” katanya.

Pil Captagon berkenaan dikatakan dadah jenis baharu yang biasa digunakan ahli militan dalam merangsang keberanian untuk melakukan kegiatan keganasan.

Tamat