Ranau: Satu kejadian gempa bumi dilaporkan berlaku di daerah ini dengan kekuatan 2.8 skala Richter, jam 11.10 malam tadi.
Satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia mendedahkan, gempa bumi berkenaan berpusat di kedudukan 6.0 Utara dan 116.6 Timur daerah Ranau.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, gegaran selama 10 saat itu turut dirasai di daerah Kundasang.
Katanya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan atau aduan orang awam berhubung kejadian berkenaan.
“Namun pasukan bomba akan terus melakukan persediaan awal termasuk menjalankan rondaan di kawasan sekitar pekan Ranau.
“Setakat jam tengah malam tadi, BBP Ranau masih belum menerima aduan daripada mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi.
Ridwan berkata, pasukan BBP Ranau juga sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan dengan bencana ini.
Selain itu katanya, Pasukan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) turut memaklumkan tiada sebarang kerosakkan ataupun aduan daripada pengurusan Taman-Taman Sabah atau pendaki.
Difahamkan, gegaran yang dipercayai berlaku pada kedalaman 10 kilometer itu berpusat di kedudukan 11 kilometer Barat dari Ranau.
Tamat






