KOTA KINABALU: Seramai 5,158 warga Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah sudah selesai menerima suntikan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan berkata, mengikut rekod setakat ini, masih terdapat kira-kira 5,000 lagi pegawai dan anggota polis yang masih belum menerima suntikan berkenaan.
Katanya, bagi mereka yang sudah menerima suntikan, tiada sebarang simptom serius yang dilaporkan dan semuanya berada dalam keadaan baik.
“Semua anggota dan pegawai yang sudah menerima suntikan vaksinasi menunjukkan keadaan yang amat baik tanpa sebarang kesan serius.
“Baki untuk kira-kira 5,000 lagi warga PDRM yang belum divaksin dijangka diberi suntikan itu mengikut ketetapan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kelengkapan Ibadah dan Sumbangan Op Daulat Serta Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) di IPK Sabah, hari ini.
Pada majlis hari ini, IPK Sabah menerima sebanyak 655 naskah Al-Quran dan pelbagai kelengkapan ibadah lain bernilai RM68,520 daripada Pertubuhan Kebajikan Anugerah Kasih Malaysia.
Sumbangan berkenaan disampaikan pengerusi pertubuhan berkenaan Ustaz Zawawi Zakaria.
Pada majlis sama, seorang daripada wira serta beberapa waris wira terkorban semasa Ops Daulat lalu turut menerima sumbangan berjumlah RM43,860 sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka.
Sementara itu, pewira negara dalam insiden pencerobohan pengganas Kampung Tanduo, Lahad Datu, Lans Koperal (B) Mohammad Nursabry Jaya berkata, beliau amat terharu apabila jasa dan baktinya dihargai ramai pihak.
Katanya, penghargaan yang diberikan pucuk pimpinan PDRM itu memberikan makna yang sangat besar kepada dirinya dan rakan-rakan lain.
“Sumbangan yang diterima ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam urusan seharian termasuklah keluarga serta perniagaan saya yang diusahakan.
“Sepanjang berkhidmat sebagai Komander VAT69, peristiwa tahun 2013 itu adalah insiden paling sukar dilupakan melihat kepada nasib rakan seperjuangan yang semasa bertempur,” katanya.
Mohammad Nursabry berkata, kenangan yang paling tidak dapat diungkapkan semasa berperang adalah melihat rakan seperjuangan terkorban di depan mata.
“Saya sendiri mengalami kecederaan apabila pihak lawan melakukan serangan sehingga mengakibatkan saya terkena anak peluru di bahagian bibir.
“Namun, saya sangat bersyukur masih diberikan kesempatan untuk bernafas sehingga ke hari ini,” katanya.
Tamat








