PITAS: Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar gas LPG dan minyak petrol gagal selepas kegiatannya itu berjaya dipatahkan pihak berkuasa, semalam.
Kegiatan berkenaan berjaya dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat, dalam operasi Op Benteng Covid-19 yang dijalankan di sekitar daerah ini.
Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Rizauddin Selamat berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya mengesan seorang lelaki berusia 35 tahun yang sedang memunggah barang kawalan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati semua barang kawalan berkenaan didapati dimiliki tanpa permit yang sah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, suspek adalah pemilik stor penyimpanan barang kawalan berkenaan dan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan menemui tong gas dan gelen yang berisi petrol dalam kuantiti yang banyak,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Rizauddin berkata, suspek juga gagal mengemukan dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tujuan berkenaan.
Katanya, semua barang kawalan berkenaan kemudiannya dirampas dan dibawa ke Pangkalan PPM Kudat untuk tindakan selanjutnya.
“Nilai keseluruhan rampasan ini dianggarkan berjumlah RM2,700 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 dibaca Bersama peraturan peraturan kawalan bekalan,” katanya.
Rizauddin berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh di denda RM1 juta dan tiga tahun penjara.
Tamat







