Semangat Bertugas Ketika Berpuasa.

Penampang: Meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam menjalani ibadah berpuasa di bulan Ramadan, pegawai dan anggota yang bertugas menjaga sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 akan sentiasa bersemangat dalam menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, dalam usaha itu, beliau bersama barisan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang turut mengambil inisiatif untuk berbuka puasa bersama anggota terbabit di lapangan.

Katanya, kehadirannya bersama pegawai untuk berbuka puasa dengan petugas di SJR Op Covid itu bukan saja dapat merasai sendiri anggota berpuasa di lapangan tetapi juga memberi sokongan kepada mereka yang terbabit.

“Selaku Ketua Polis Daerah bersama beberapa pegawai di daerah Penampang ini, kita meluangkan masa berbuka bersama-sama anggota kita di lapangan.

“Ia bagi memberi semangat dan juga motivasi kepada mereka yang terpaksa bertugas walaupun dalam keadaan berpuasa,”katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa ringkas bersama anggota polis yang bertugas di SJR Op Covid di hadapan Pangkalan Polis Babagon, di sini, semalam.

Mohd Haris berkata, majlis berbuka puasa dalam keadaan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini adalah tahun kedua.

“Pada tahun lalu, kita juga berpuasa dalam keadaan penguatkuasaan dalam PKP, yang mana program ini bagi memberi perangsang semangat kepada anggota kita bertugas di lapangan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Haris berkata, selain majlis berbuka puasa, IPD Penampang turut mengambil pendekatan untuk menyantuni peniaga di kedai dan gerai di sekitar SJR berkenaan.

“Pendekatan yang dilakukan adalah menyantuni kumpulan peniaga yang terdiri daripada penduduk Babagon di sini yang berniaga di gerai-gerai menjual buah-buahan dan juga kedai-kedai berhampiran.

“Objektif kita adalah mendekatkan masyarakat dengan PDRM IPD Penampang. Kita mengharapkan penduduk ataupun peniaga peniaga di sini selesa dengan kehadiran polis yang bertugas di sini,” katanya.

tamat