Penunggang Motosikal Maut Digilis Pacuan Empat Roda.

Ralat: Berita Dikeluarkan Pada 9 Mei 2021.

Lahad Datu: Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 28 Jalan Lahad Datu-Tawau, semalam.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, mangsa berusia 30-an terbabit yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Z800 dikatakan bergerak dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu.

Bagaimanapun, ketika sampai di lokasi kejadian, terdapat sebuah lagi Motosikal jenis Honda CBR 954 yang bergerak perlahan disebabkan ada sebuah kenderaan di hadapannya tiba-tiba memperlahankan kelajuan kenderaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad berkata, siasatan mendapati, mangsa yang datang dari arah belakang dipercayai tidak sempat mengelak dan terlanggar ekzos Motosikal jenis Honda Cbr 954 yang berada dihadapannya.

Katanya, kejadian ini mengakibatkan mangsa hilang imbangan dan terjatuh tepat di bawah sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang sedang bergerak dari arah bertentangan lalu digilis oleh tayar belakang sebelah kanan kenderaan tersebut.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Manakala pemandu Toyota Hilux dan penunggang motosikal Honda CBR pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rohan berkata, siasatan awal polis mengesyaki kejadian dipercayai berpunca akibat kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal kenderaan masing-masing dengan baik.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis memohon saksi kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Rasul di talian 089-881255 sambungan 414 untuk membantu siasatan lanjut,”katanya.

Sementara itu, Rohan menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dalam keadaan selamat dan berhemah.

Katanya, pengguna jalan raya diharap tidak cuai ketika memandu serta mementingkan keselamatan pengguna lain.

Tamat